BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 19, 2012

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS DALAM LISAN

PENGENALAN Lisan merupakan satu daripada kemahiran yang penting dalam menjadi asas dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Jika ditinjau dengan teliti, dalam lisan terdapat dua aspek kemahiran kecil iaitu Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur.  Kanak-kanak mula menguasai bahasa dari apa yang didengar dan dialaminya. Dia akan cuba meniru serta menuturkannya berulang-ulang.

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS DALAM LISAN
(i) Kemahiran Mendengar
Apabila seseorang itu mendengar, dia seharusnya dapat mengecam, mengenal dan mengamatinya; Iaitu mengenal dan mendiskriminasi bunyi-bunyi bahasa yang berlainan. Kemahiran mengenal dan mendiskriminasikan bunyi-bunyi ini bergantung kepada faktor-faktor fisiologi serta neurologi pendengaran setakat mana kadar pendengarannya dan pengamatan pendengarannya.  Secara ringkasnya seseorang itu boleh dikatakan mempunyai kemahiran mendengar jika ia boleh:

  • Mendiskriminasi bunyi-bunyi bukan bahasa.
  • Mendiskriminasikan unit-unit bunyi bahasa.
  • Memahami perkataan, konsep dan kemahiran mendengar perkataan.
  • Memahami ayat serta lain-lain elemen linguistik bahasa.
  • Mendengar secara kritikal.
  • “auding”
  • Mengikut arahan.
  • Memahami urutan atau sekuan.
  • Mengingat kembali.
  • Menentukan idea utama / terpenting.
  • Membuat inferen dan penyeluruhan atau kesimpulan.
(ii) Kemahiran Bertutur
Satu lagi kemahiran yang tergolong dalam kemahiran lisan ialah kemahiran bertutur iaitu kemahiran menyebut dan membunyikan bunyi-bunyi bahasa dengan pengujaran kata-kata atau ayat dalam intonasi, nada (tekanan suara), jeda serta helaan yang betul. Unsur-unsur ilmu linguistik yang dinamakan ”suprapenggalan” ini merupakan aspek yang nyata dan penting dalam lisan. Bagi sesetengah bahasa, perubahan kepada unsur-unsur ini akan melibatkan perbezaan maksud atau makna.
Mengenal pasti intonasi yang berbeza-beza ini amat penting bagi mewujudkan suasana pertuturan yang baik, licin dan lancar. Oleh itu aspek ini juga perlu diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran.

PENGESANAN DAERAH KELEMAHAN LISAN
Guru boleh mengesan kelemahan murid dengan mengamati setiap sebutan dan intonasi  pertuturan mereka ketika menjalankan gerakerja / aktiviti lisan.Guru boleh membuat pengesanan khusus dengan merangka, membina serta melaksanakan ujian lisan yang antara lain akan menguji keupayaan murid untuk:
  • Mengamati bunyi-bunyi bukan bahasa.
  • Mengamati bunyi-bunyi bahasa dan lain-lain elemen linguistik bahasa.
  • Memahami konsep dan maksud perkataan / ayat.
  • Melakukan ”auding” yang merangkumi aspek-aspek pengamatan pendengaran.
  • Mendengar secara kritikal.
Guru boleh mengesan atau menguji kemahiran lisan murid dengan menganalisa rakaman-rakaman yang dibuat berdasarkan kepada sebutan-sebutan atau pengujaran murid-murid. Guru juga boleh menguji kefahaman murid mengenai perkara-perkara yang didengarnya dengan menyediakan item-item soalan yang khusus berkaitan ”auding”.

KAEDAH MENGATASI MASALAH  LISAN
  1. Guru sendiri menjadi model sebagai penutur yang baik untuk ditiru oleh murid-murid.
  2. Guru mempergiatkan lagi gerakerja / aktiviti lisan untuk murid.
  3. Guru memperbanyakkan latih tubi sebutan dan intonasi terutama kelemahan khusus murid-murid.
  4. Guru mempelbagaikan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran.
  5. Guru menjalankan peneguhan serta pengukuhan serta merta.
  6. Guru menggabungjalinkan lisan dengan kemahiran bacaan dan tulisan dalam pengajaran dan pembelajaran.
  7. Guru mewujudkan situasi-situasi yang menggalakkan murid berinteraksi melalui susun atur tempat duduk, pertandingan dan sebagainya

Sunday, January 1, 2012

Menghadapi cabaran 2012

Oleh DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara itu, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin.

Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna.

Dalam Islam transformasi disebut sebagai islah. Ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Dalam transformasi kehidupan insan, Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, sirah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusiaan.

Ini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (ar-Ra'd: 11)
Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan.

Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri.

Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek.

Amat sedih kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri.


Oleh yang demikian, kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan: "hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung."

Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.

Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ibda' binafsika (mulakan daripada diri kamu sendiri).

Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.

Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap.

Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Proses yang disebutkan di atas akan memacu setiap insan Muslim ke arah yang lebih baik dan melakukan perubahan diri. Perlu kita sedari bahawa seorang Muslim yang baik, tidak akan pernah dalam dirinya bersifat statik dalam melakukan perubahan dalam diri.

Pada asasnya kehidupan hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika berlaku keadaan yang statik atau jumud, ini bererti berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan akan menuju kehancuran atau kebinasaan.

Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat dan kesedaran fahaman wasatiah atau ummatan wasatan perlu digerakkan bagi mencapai ciri-ciri umat yang terbaik (khaira ummah).

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dapat dicapai sudah pasti umat Islam akan dapat menjadi pemimpin dunia bukan sahaja dalam penguasaan politik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan manusia seluruhnya kerana umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Al-Islah al-manhaj 


Untuk al-islah al-manhaj iaitu transformasi sistem kehidupan manusia berdasarkan fikrah manusia yang merupakan makhluk sosial yang perlu kepada saling berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain.
Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi, manusia memerlukan peraturan atau sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.

Sehubungan itu, Islam telah mengatur atau membentuk sistem kehidupan manusia secara jamaie yang mampu membentuk sistem hidup manusia yang sempurna.

Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum-hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan juga jenayah. Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepimpinan kerana manusia bukan makhluk haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma-norma tertentu.

Untuk itu, dalam hidup yang berperaturan dan bersistem, memerlukan kepimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah yang lebih baik.

Ia tidak sekadar menumpukan kepada ibadah-ibadah khusus yang berbentuk individu semata-mata tetapi ia perlu terus dimantapkan dengan pengukuhan pelbagai aspek kehidupan dan peraturan Islam yang merangkumi aspek ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan kepentingan seluruh umat.

Sirah nabawi juga telah mencatatkan terdapat dua orang nabi yang telah membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW.

Kedua-dua pemimpin manusia utusan Allah itu tidak sahaja mengajak manusia melakukan ibadah secara khusus seperti puasa, solat, zakat dan zikir semata-mata tetapi kedua-dua utusan Allah itu mengajak manusia melakukan ketaatan Allah berlandaskan sistem Islam yang dibawa oleh mereka.

Untuk itu, dalam usaha membina sistem kehidupan yang bertujuan untuk membentuk manusia ke arah yang lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah serta aspek kehidupan bermasyarakat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bukan tidak mempercayainya atau meminggirkannya.

Sesungguhnya transformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkait. Kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi.

Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik.

Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar.

Justeru, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam menjadi individu yang bersedia melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna.

Ia seperti mana peringatan Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25.

Ramalan tarikh kiamat jejas akidah

 Oleh SITI AINIZA KAMSARI


GAMBARAN berlakunya kiamat dari filem Hollywood 2012.


BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.

Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.

Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.
Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.

Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.

Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.

Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.

Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.

Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?

Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.

"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.

"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.

Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).