20/06/2010
MUAR 20 Jun — Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.
Beliau berkata, peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.
Katanya, pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya. - Bernama


0 comments:
Post a Comment